Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk
menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka di antara kamu ada yang bakhil,
dan sesiapa yang bakhil sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya
sendiri, dan Allahlah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang sangat
berhajat kepada pertolongan Allah; dan jika kamu berpaling daripada menegakkan
agama Allah (Islam) nescaya dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain;
dan mereka tidak akan seperti kamu ini. (Surah Muhammad: 38)
Firman Allah dan ucapan ini menjadi kenyataan, apabila
bangsa Arab yang memimpin umat Islam tidak lagi berpegang kepada Islam kerana
leka dengan kuasa yang dijadikan peluang mengumpul harta kekayaan dan kemewahan,
tetapi bakhil dengan harta pinjaman yang dimiliki. Maka Allah menukarkan
kepimpinan kepada kalangan kaum bangsa bukan Arab, penganut Islam yang
berpegang dengan Islam yang sempurna secara silih berganti di kalangan berbagai
bangsa yang menganut Islam dan beramal dengannya dalam seluruh cara hidup.
Apabila seluruh bangsa umat Islam, terpahat rasa bakhil, bersemangat bangsa
masing-masing dan berpuak, Islamnya menjadi sampingan amalan peribadi
masing-masing, sehingga cara hidup dalam urusan politik, ekonomi, pendidikan
dan lain-lain dipisahkan daripada Islam, tunggulah peringatan Allah SWT, Bahawa
IA akan menggantikannya dengan kaum yang lain.
Jom keluarkan sedikit harta yang kita ada
untuk bersedekah kepada siapa sahaja yang memerlukan kerana Allah.
No comments:
Post a Comment