JOM JADI JUTAWAN

JOM JADI JUTAWAN
HANYA RM1.00 UNTUK JADI JUTAWAN..dermalah

Sunday 22 April 2012

CATATAN naluri salah seorang Penjaga semaa Hari TAKRIM

 
Saya tiba di Dewan Sekolah Menengah Sri Amin semasa Asmaul Husna dialunkan. Sejurus itu bacaan ayat-ayat dari Surah Luqman diperdengarkan dengan syahdu diselangseli dengan terjemahannya. Firman Allah swt yang mengisahkan pesanan Luqman kepada anaknya menjadi santapan rohani bagi hadirin.
Di dalam ucapan aluan Pengetua, Beliau mengupas tema Hari Takrim iaitu 'Muslim Berilmu Pencetus Masa Depan Ummah'. Cabaran kita ialah bagaimana memupuk budaya ilmu di kalangan pelajar agar mereka bangkit untuk menjejaki langkah umat Islam terdahulu. Mereka cemerlang di bidang keilmuan dan berjaya menjadikan negara Islam sebagai hab ilmu pengetahuan serta tempat rujukan dunia.
Penasihat Sri Al-Amin ( YDP IKRAM Daerah Kajang) dalam ucapan perasmian mengimbau sejarah Sri Al-Amin yang bermula dalam suasana daif di masjid lama Serdang. Kemudian Sri Al-Amin berhijrah ke Sungai Tangkas di dalam suasana di kelilingi ladang kelapa sawit. Kini Sri Al-Amin berjiran dengan taman perumahan, rumah kedai malah apartmen yang tinggi. Sri Al-Amin bukanlah sekadar bangunan sekolah tetapi ianya adalah institusi pendidikan yang membina pemimpin soleh dan musleh untuk negara dan mungkin dunia satu hari nanti.
Visi besar hanya dapat dicapai dengan sumbangan setiap dari kita ibubapa dalam kapasiti masing-masing. Selain sumbangan wang ringgit dan tenaga, penghargaan melalui emel sebagai contoh mampu memberi suntikan semangat kepada warga Sri Al-Amin. Komen dan cadangan dialu-alukan dan seharusnya disalurkan secara berhikmah supaya langkah positif dapat kita usahakan bersama.
Beliau juga menasihatkan bahawa setiap pencapaian mahupun 1A, 2A dan seterusnya adalah kejayaan. Yang penting, kita menanamkan sifat orang berjaya di mana hari esok adalah lebih baik dari hari ini.
Penyampaian hadiah pelbagai kategori kedatangan terbaik, hafazan terbaik, peningkatan prestasi terbaik, akademik terbaik dan akhlak SPPIM diselangseli dengan persembahan nasyid, penyampaian cerita Bahasa Arab dan syair. Anak-anak kita memang berbakat dalam bidang nasyid. Persoalannya ialah bagaimana menggilap bakat mereka. Ada di kalangan ibubapa yang berbakat seni boleh membantu? Walaupun tidak memahami Bahasa Arab, saya menumpukan perhatian kepada cerita Bahasa Arab yang disampaikan dengan begitu fasih. Saya dimaklumkan bahawa pencerita Bahasa Arab mendapat tempat pertama di dalam pertandingan bercerita Bahasa Arab yang di adakan di IPG Selangor (dahulunya MPI). Persembahan syair juga menarik kerana diselangselikan dengan iringan percussion. Bakat percussionists begitu terserlah walaupun mereka masih di peringkat menengah rendah.
Acara kemuncak Hari Takrim ialah penyampaian anugerah SPPIM Cemerlang, PMR Cemerlang serta pelbagai kategori Usahawan Muda, Sukan Cemerlang, KRS Cemerlang, Kokurikulum Cemerlang, Kreatif dan Inovatif, Kepimpinan dan Pelajar Mithali.
Pelajar lepasan SPM 2011 yang dinobatkan dengan anugerah Kepimpinan, Asma’ Abu Bakar, ialah Nurul Hana binti Amran sementara anugerah Pelajar Mithali, Zainab Al-Ghazali, ialah Hanifah binti Jailani. Selain kecemerlangan akademik, penglibatan aktif kokurikulum dan akhlaq yang baik, kedua pelajar ini sentiasa menyumbang bakti kepada sekolah dan membimbing adik-adik pelajar. Airmata saya turut bergenang menumpang kegembiraan dan kesyukuran kedua ibubapa mereka di samping mensyukuri kejayaan anak-anak sendiri.
Alhamdulillah, kita mensyukuri kejayaan anak-anak kita walau sekecil mana pun pencapaian mereka. Kita terus mendoakan mereka samada yang berjaya mahupun yang belum berjaya. Kejayaan buat kita ibubapa ialah apabila mereka sering mendoakan kita apatah lagi apabila kita tiada di dunia. Kejayaan yang hakiki ialah apabila kita semua lulus perhisaban di Mahsyar nanti.
**Sekadar coretan untuk perkongsian. Mohon maaf sekiranya ada salah dan silap. Harap diperbetulkan. Jutaan terima kasih, jazakumullahu khairan kathira kepada warga pendidik, staf, ibubapa dan semua yang menjadi asbab kepada kejayaan dianugerahkan Allah swt kepada anak-anak kita.
~Halimah
Desa Al-Amin

No comments:

Post a Comment