JOM JADI JUTAWAN

JOM JADI JUTAWAN
HANYA RM1.00 UNTUK JADI JUTAWAN..dermalah

Monday, 25 June 2012

SEMARAK KASIH sudah berputik...23 JUN 2012

SEMARAK Kasih, menyantuni ibu bapa telah berputik,,, program meraikan ibu bapa dan mereka yang disayangi, berjalan lancar, penuh dengan nostalgia... Ia akan mekar untuk dijadikan agenda tahunan Insya Allah.. ini sebahagian catatan dan foto kenangan yang sempat dikompailkan.

"Abah menitiskan airmata terharu. Lelaki warga emas ini mudah terusik hatinya. Mak pula tertunduk malu apabila berhadapan kamera. Hadiah kami tidak seberapa harganya. Tetapi ianya hasil kerja penuh kasih sayang cucunda Mak dan Abah. Berhari-hari cucunda menyiapkan poster yang mengandungi semua gambar anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu Abah dan Mak untuk dihadiahkan sempena Majlis Semarak Kasih.

Kami ingat betapa cekalnya Abah menghadapi cabaran hidup membesarkan kami enam beradik. Acap kali baju Abah basah boleh diperah dek keringat kerana mencari rezeki.
Mak juga melakukan pelbagai kerja selain tugas surirumah untuk membantu Abah. Walau pendapatan keluarga tidak seberapa, tapi keberkatannya melimpah ruah.

Majlis Semarak Kasih hanya sekelumit penghargaan yang mampu kami berikan buat Mak dan Abah berbanding dengan selautan kasih dan segunung pengorbanan kalian".

Alhamdulillah, Majlis Semarak Kasih 2012 telah selamat dianjurkan pada 23 Jun 2012 yang lalu. Ucapan Penasihat Majlis Semarak Kasih merangkap YDP IKRAM Kajang, Prof Ir Dr Kamal memberi contoh pengorbanan bapa, seorang penarik beca yang mampu mendidik anak-anak hingga berjaya. Bicara Semarak Kasih oleh Prof Madya Ustaz Hasanuddin, YDP IKRAM Selangor, sarat dengan motivasi dan nasihat untuk kami sebagai anak-anak dan juga untuk para ibubapa yang diraikan. Betapa peluang meraih pahala yang Allah swt berikan kepada anak-anak dengan dilanjutkan usia ibubapa mereka. Begitu juga para ibubapa warga emas diberikan peluang untuk melipatgandakan pahala amal ibadah yang dilakukan dalam suasana lemah dan uzur. Kasih sayang berpanjangan antara suami isteri warga emas memberi kefahaman yang sungguh indah mengenai maksud perkataan "rahmah" selepas "sakinah" dan "mawaddah" yang terkandung dalam Surah Ar-Rum:21.
Prof Taufiq Yap sebagai pengacara, menceriakan Majlis Semarak Kasih dalam sesi hadiah misteri, hadiah bertuah, penyampaian cenderahati kepada ibubapa dan sesi di mana hadirin mengungkapkan penghargaan kepada ibubapa tersayang. Seorang warga emas bangun menyatakan bahawa dalam usia sebegitu, beliau masih teringat jasa ibubapanya yang telah lama pergi. Yang mampu beliau lakukan sekarang hanyalah menyedekahkan Al-Fatihah dan mendoakan mereka. Oleh itu bagi yang masih mempunyai ayah dan ibu, santunilah mereka sementara peluang masih ada.
Pelbagai persembahan sajak, poem, video clip, nasyid Tadika Khalifah Bestari, angklung Sekolah Rendah Sri Al-Amin Bangi dengan iringan suara pelajar-pelajar Sekolah Menengah Sri Al-Amin Bangi serta nasyid kumpulan Huffaz dari Pusat STAM IKRAM menyuntik kesyahduan dan mendendangkan hiburan silih berganti. Bakat anak-anak kita yang digilap dengan bimbingan guru-guru dan sukarelawan ternyata mampu menyentuh hati dan menghiburkan hadirin.
 
Ramai yang menjayakan Majlis Semarak Kasih samada menyumbang idea, tenaga, masa dan wang ringgit. Yang pasti, malaikat tidak lupa mencatit. 750 kerusi yang terjual, satu bilangan yang bukan sedikit.
Kami para AJK menarik nafas lega. Pastinya ada banyak kelemahan yang perlu kami perbaiki. Rasa penat dan lelah kini semakin hilang. Mudah-mudahan pahala amal kerdil ini kekal tidak akan lekang.
~coretan AJK Majlis Semarak Kasih, anjuran IKRAM Kajang, PIBG Sri Al-Amin Bangi dan Pengurusan Musolla Sri Al-Amin Bangi, untuk perkongsian. Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment